Pages

Sunday, March 6, 2011

Ningxia Berusaha Membina Pangkalan Keluaran Barangan Halal

Penduduk etnik Hui China beragama Islam. Wilayah Autonomi Hui Ningxia mempunyai keunggulan dalam pembangunan industri barangan halal.



Terdapat kira-kira 10 ribu syarikat di Nongxia yang mengeluarkan makanan halal dan barangan halal. Lebih 300 jenis keluaran daripada syarikat-syarikat tersebut mempunyai paten sendiri. Daging lembu dan kambing yang dikeluarkan oleh Ningxia dieksport ke negara luar, termasuk Malaysia, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir. Selain itu, beberapa jenama dari Ningxia, seperti Najiahu Ningxia dan Jambatan Laohe Wuzhong telah menjadi popular di peringkat antarabangsa. Jualan barangan halal yang dikeluarkan di Ningxia mencapai 8 bilion yuan RMB pada tahun 2007.

Orang Islam merupakan kira-kira 1/4 daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia. Jumlah perdagangan makanan halal di seluruh dunia mencatat kira-kira 150 bilion dolar Amerika. Oleh itu, industri barangan halal berpotensi besar untuk berkembang. Ningxia sedang berusaha untuk membina pangkalan bagi menyalurkan sektor barangan halal China kepasaran dunia. Di samping mempunyai syarikat-syarikat yang berskala besar dan pasaran yang luar biasa, Ningxia juga telah mencapai perjanjian saling mengiktiraf kelayakan dengan pertubuhan perakuan kelayakan halal dari Malaysia, Thailand dan beberapa negara yang lain. Ini memudahkan pengeksportan barangan halal China ke pasaran-pasaran tersebut.


 Dalam Sidang Kemuncak Usahawan Muslim China yang diadakan tidak lama dulu, pembangunan sektor makanan dan barangan halal telah ditetapkan oleh kerajaan Bandar Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Hui Ningxia sebagai salah satu sektor pembangunan ekonomi daripada enam sektor yang berciri khas dalam rancangan pembangunan lima tahun ke-11 Ningxia. Yinchuan dan Ningxia sedang berusaha untuk menjadi pangkalan pengeluaran, jual beli dan eksport makanan dan barangan halal di China. Untuk mencapai matlamat ini, Pesta Makanan dan Barangan Halal Antarabangsa kini dianjurkan di Ningxia pada setiap tahun. Ningxia juga bekerjasama dengan Syarikat Perdagangan Antarabangsa Zhongyuanda Berhad bagi melabur 2 bilion yuan RMB untuk membina Pusat Perdagangan Antarabangsa Makanan Halal China di Yinchuan. Untuk terus meningkatkan perdagangan dengan Asia Barat, Ningxia juga merancang membuka "Pusat Beli-belah Ningxia" di Jeddah, bandar kedua terbesar di Arab Saudi. Barangan yang dijual dalam pusat beli-belah tersebut terutamanya daging lembu dan kambing, keluaran susu, pakaian, kopiah, makanan halal dan barangan kegunaan harian.


 Ketua Persatuan Daging Halal Ningxia, Wan Jianhua menyatakan keyakinannya terhadap potensi barangan halal Ningxia di pasaran antarabangsa. Serentak dengan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk pembangunan industri daging halal Ningxia. Antaranya, meningkatkan kualiti produk, terus meningkatkan bahagian pasaran di pasaran dalam negeri dan menambah pengeksportan keluaran yang dibuat dari daging halal.


http://malay.cri.cn/681/2009/01/20/102s94353_1.htm

No comments:

Post a Comment