Pages

Saturday, March 12, 2011

Masjid di Beijing

Masjid yang paling kuno dan berskala paling besar di Beijing ialah Masjid Niujie. Ia dibina pada tahun 996 dan dibaiki semula pada tahun 1442.



Pada zaman Dinasti Yuan, penduduk Islam di Beijing semakin ramai dan jumlah masjid pun agak banyak. Menurut catatan sejarah, pada masa itu di Beijing terdapat 15000 orang penganut Islam, yang merupakan lebih 1/10 daripada jumlah keseluruhan penduduk bandar ini. Masjid di sekitar Beijing pula telah mencapai 35 buah. Selepas Dinasti Yuan digulingkan oleh Dinasti Ming, projek pembinaan besar-besaran dijalankan di Beijing untuk membina ibu kota empayar baru. Banyak Masjid di Beijing telah diruntuhkan. Bagaimanapun, kerajaan Dinasti Ming sangat menghargai ramai penduduk Islam yang telah memberi sumbangan terhadap penubuhan empayar. Sebagai tanda penghargaan itu, banyak masjid baru telah dibina, antaranya banyak yang dibina kerana perintah maharaja. Kebanyakan masjid kuno yang masih terpelihara di Beijing hingga kini adalah yang dibina pada zaman Dinasti Ming.

Selepas Dinasti Qing mengambil alih kuasa, kerajaan bersikap "lobak dan kayu" (carrot dan stick) terhadap mereka penganut Islam, mereka berasa perit berada di bawah pemerintahan kerajaan baru. Sebahagian daripada mereka berpindah ke kawasan terpencil bandar Beijing. Ramai masyarakat Islam berkembang di luar Beijing. Seiring dengan peluasan kawasan kediaman penduduk muslim, jumlah masjid di Beijing juga bertambah dengan pesat.

Apabila menamatkan pemerintahan keraja dengan tertubuhnya Republik China, bangsa China mengalami pelbagai kesengsaraan kerana perang saudara dan serangan Jepun. Penduduk Islam turut terhimpit dan perkembangan Islam di Beijing menjadi perlahan. Terdapat hanya tiga buah masjid yang dibina di Beijing pada zaman tersebut.

Selepas penubuhan Republik Rakyat China, agama Islam berkembang semula dengan pesat di Beijing. Penduduk yang beragama Islam di Beijing paling ramai berbanding di bandar-bandar yang lain di China. Mereka terdiri daripada penduduk daripada sepuluh etnik minoriti yang beragama Islam. Pada penghujung abad ke-20, jumlah penganut Islam di Beijing telah mencapai lebih 200 ribu orang. Ramai ulama yang terkenal tinggal di Beijing. Mereka menubuhkan Persatuan Islam China di Beijing pada tahun 1953. Kini, di Beijing terdapat 68 buah masjid, ini mencerminkan pembangunan Islam yang pesat di Beijing.


Masjid di Beijing melambangkan asimilasi kebudayaan China dan Arab. Kebanyakan masjid di Beijing berbentuk bangunan tradisional China, tetapi, berbeza dengan tradisi China yang menuntut semua bangunan menuju ke arah selatan, semua dewan sembahyang dalam masjid di Beijing pintunya menuju ke arah timur bagi membolehkan jemaah bersembahyang ke arah kiblat. Hiasan pada setiap bangunan pula penuh ciri khas Arab, kebanyakannya merupakan ukiran ayat-ayat suci Al-Quran


 Seni khat Arab bersejarah lama dan sangat terkenal di seluruh dunia. Seiring dengan perkembangan Islam di China, seni khat Arab juga menjadi popular di kalangan umat Islam di China. Beransur-ansur, seni khat Arab dipengaruhi seni khat tradisional China dan muncul banyak karya seni khat petikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis menggunakan dakwat dan berus. Di pelbagai masjid di Beijing juga dapat kelihatan banyak karya seni khat yang terdiri daripada huruf bahasa Arab dan aksara bahasa Mandarin. Di Masjid Dongsi, Beijing tersimpan sejilid Al-Quran tulisan tangan yang telah bersejarah lebih 700 tahun dan tembikar dengan lorekan ayat-ayat Al-Quran yang dibuat pada zaman Dinasti Ming dan Qing. Boleh dikatakan, setiap masjid di Beijing telah memperlihatkan percampuran budaya China dan Arab.


http://malay.cri.cn/681/2009/02/08/102s94989_1.htm

No comments:

Post a Comment