Pages

Friday, February 12, 2010

Pendidikan Agama Islam Etnik Salar di China

Etnik Salar merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Etnik Salar mempunyai bahasanya sendiri, namun tidak mempunyai huruf. Nenek moyang etnik Salar berasal dari kawasan Asia Tengah. Pada lebih 700 tahun yang lalu, penduduk etnik Salar menunggang unta dan turut membawa Al-Quran berhijrah dari kawasan Asia Tengah ke China. Agama Islam memainkan peranan penting dalam perkembangan etnik Salar.

Kaunti Xunhua merupakan kampung halaman etnik Salar di China. Kira-kira 60 ribu orang daripada lebih 80 ribu orang penduduk etnik Salar tinggal secara berkelompok di kaunti tersebut. Al-Quran yang dibawa oleh nenek moyang penduduk etnik Salar dari kawasan Asia Tengah juga turut disimpan di masjid kaunti tersebut.



Pada asalnya, pendidikan agama Islam hanyalah disampaikan dalam kalangan keluarga bagi penduduk etnik Salar. Dalam sebarang tindakan yang dilakukan oleh penduduk etnik Salar akan merujuk Al-Quran.

Seiring dengan perkembangan agama Islam di China, jumlah masjid telah meningkat secara besar-besaran. Pendidikan agama Islam yang disampaikan di masjid-masjid menjadi kaedah pendidikan agama Islam yang paling utama bagi penduduk etnik Salar. Berdasarkan sejarah, pada zaman Maharaja Qianlong Dinasti Qing, lebih kurang 73 buah masjid di Kaunti Xunhua, iaitu kawasan penempatan penduduk etnik Salar. Kaunti itu dibahagikan kepada 8 kawasan pentadbiran, dan setiap kawasan pentadbiran terdiri daripada beberapa kampung. Di setiap kawasan pentadbiran, terdapat sebuah masjid utama yang dikenali sebagai "Haiyisi". Di dalam setiap masjid utama, terdapat seorang imam dan seorang naib imam. Kedua-dua mereka bertanggungjawab atas hal ehwal agama Islam, menyampaikan ceramah kepada umat Islam, menerima penuntut untuk mempelajari agama Islam serta mengadakan musabaqah Al-Quran. Kaedah pendidikan agama Islam tersebut sangat popular bagi kalangan penduduk etnik Salar dalam masa yang panjang.


Setelah memasuki zaman moden, penduduk etnik Salar mula menerima kaedah pendidikan yang moden. Persatuan Pendorong Pendidikan Agama Islam Provinsi Qinghai China yang ditubuhkan pada tahun 1932 telah menubuhkan cawangannya di pelbagai kaunti di Provinsi Qinghai. Kaunti Xunhua pada tahun 1938 turut menubuhkan pelbagai sekolah rendah. Jumlah murid di sekolah-sekolah tersebut meningkat secara besar-besaran. Sekolah rendah tersebut bukan sahaja menerima murid kalangan etnik Salar, tetapi juga menerima pelajar daripada kalangan etnik yang lain. Sekolah rendah itu menyediakan kursus bahasa Arab, Al-Quran dan Hadis. Di sekolah rendah yang besar, terdapat juga masjid. lulusan yang cemerlang daripada sekolah rendah tersebut akan melanjutkan pelajaran mereka di Sekolah Menengah Xining yang terletak di ibu kota provinsi Qinghai. Kaedah pendidikan yang agak moden tersebut telah menyediakan peluang kepada remaja etnik Salar untuk menimba ilmu yang lain selain ilmu tentang agama Islam.


Setelah China mengamalkan dasar pembaharuan dan buka pintu, dasar bebas beragama telah dilaksanakan di China. Agama Islam di China turut berkembang dengan pesat, jumlah masjid juga meningkat secara besar-besaran. Setakat ini, jumlah masjid di kawasan penempatan etnik Salar telah mencapai lebih 100 buah. Terdapat ramai remaja kalangan etnik Salar menerima pendidikan yang bertaraf tinggi. Mereka bukan sahaja mahir dalam agama Islam, tetapi juga boleh bertutur bahasa Mandarin dan bahasa Arab.


Setelah ditubuhkan kelas latihan imam di Provinsi Qinghai Institut Pengajian Islam Provinsi Qinghai pula ditubuhkan. Ramai golongan muda etnik Salar mengikuti kursus di kedua-dua sekolah tersebut. Terdapat juga ramai golongan muda etnik Salar melanjutkan pelajaran mereka di luar negara, seperti Mesir, Pakistan, Arab Saudi dan lain-lain. Berdasarkan statistik, lebih 10 orang imam muda etnik Salar telah melanjutkan pelajaran di negara asing dalam tempoh lebih 20 tahun ini. Pada tahun 1993, imam Han Weiguo daripada Masjid Gujilai Kaunti Xunhua mengikuti kursus di kelas latihan imam Universiti Al-Azhar Mesir. Beliau merupakan imam etnik Sala yang buat pertama kalinya dihantar oleh kerajaan China untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Beliau merupakan saksi perkembangan agama Islam etnik Salar pada zaman kini.




http://malay.cri.cn/681/2008/11/21/24s91665.htm

No comments:

Post a Comment