Pages

Friday, February 19, 2010

Li Guihua, Petani yang Cemerlang di Wilayah Autonomi Ningxia

Pekan Sanying terletak di bandar Guyuan, Wilayah Autonomi Hui Ningxia di bahagian barat laut China. Suasana di pekan itu amat meriah, terdapat ramai muslimah yang memakai tudung berbelanja di kedai-kedai di tepi jalan. Li Guihua mengelola sebuah kedai barang penggunaan bilik tidur di pekan tersebut. Suaminya, Yang Mingjun dengan bangga menunjukkan gambar isterinya yang diletakkan di dinding dan berkata, "Beliau pernah bagi pihak kaum tani di Ningxia, menyertai persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan ke-8."

Li Guihua dalam gambar tersebut sedang berjabat tangan dengan pemimpin negara. Beliau yang berumur 58 tahun pernah dilantik sebagai anggota Kongres Rakyat Kebangsaan dan Pengerusi Persatuan Syarikat Swasta Ningxia. Selain itu, beliau berusaha menjayakan "projek 1236" untuk mengalirkan air dari Sungai Kuning ke bandar Guyuan dan menyelesaikan masalah bekalan air minum bagi lebih 100 ribu penduduk di bandar tersebut. Katanya, "Saya adalah seorang petani biasa. Setelah tamat dari sekolah perguruan, saya berusaha meningkatkan taraf hidup kaum tani dan tahap pendidikan kanak-kanak di kawasan kami."

Li Guihua berasal dari sebuah keluarga yang miskin. Ketika berumur setahun setengah, ayahnya meninggal dunia. Pada zaman itu, penduduk etnik Hui masih memegang teguh tradisi bahawa anak-anak perempuan tempatnya di dapur, oleh itu jarang terdapat gadis etnik Hui di desa yang bersekolah. Ketika umurnya 11 tahun, Li Guihua berazam untuk bersekolah. Akhirnya, kehendak beliau telah dipersetujui oleh keluarganya. Beliau tidak mempersia-siakan peluang itu. Li Guihua belajar bersungguh-sungguh dan lulus semua mata pelajaran sekolah rendah selama 5 tahun dalam tempoh 3 tahun sahaja. Kemudian, beliau melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Perguruan Guyuan. Li Guihua amat perihatin terhadap keadaan pendidikan yang mundur di desa Ningxia. Beliau bimbang keadaan itu berterusan. Oleh itu, beliau berazam untuk meningkatkan pendidikan di kampung halamannya. Katanya, "Kalau kanak-kanak di desa tidak bersekolah, ekonomi di kawasan itu akan menjadi terus mundur. Saya lulus dari sekolah perguruan dan bertanggungjawab untuk memperbaiki hal ini dan mengembangkan bidang pendidikan di desa."

Pada tahun 1960-an, Li Guihua tamat dari Sekolah Perguruan Guyuan dan berkhidmat sebagai guru di kawasan desa yang paling mundur. Kemudahan di sekolah itu amat buruk dengan bangunan yang usang, serta meja dan bangku yang rosak. Semua penuntutnya yang berumur dari 4 hingga 18 tahun buta huruf. Li Guihua berusaha gigih mendidik penuntut-penuntutnya. Bbeliau menggunakan gaji sendiri membeli buku untuk penuntut daripada keluarga yang miskin. Hanya Li Guihua dan seorang rakannya yang berkhidmat di sekolah itu, tetapi mereka berusaha gigih dan mendidik dengan jayanya 147 orang penuntut dalam tempoh 4 tahun.

Ketika sekolah itu kian berjaya, kerajaan telah mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Pembaharuan itu menjadikan ekonomi China semakin maju dan taraf pendidikan di desa juga kian meningkat. Sekolah tersebut telah digabungkan dengan Sekolah Rendah Pekan Sanying yang lebih besar dan maju. Li Guihua telah berhenti sebagai guru dan bekerja dalam bidang yang lain. Beliau berazam untuk mendorong anak-anaknya menimba ilmu sehingga ke menara gading.

Suaminya, Yang Mingjun amat menyokong usaha murni Li Guihua. Katanya, "Ilmu amat penting bagi kanak-kanak untuk mencapai kecemerlangan. Saya tidak pernah bersekolah, tetapi saya dan isteri berazam untuk mendidik anak-anak itu supaya dapat masuk universiti."

Li Guihua dan suaminya telah mengelola sebuah kedai pakaian di pekan Sanying. Mereka bekerja bertungkus-lumus dan berjimat-cermat berbelanja untuk menyediakan yuran persekolahan kepada anak-anak. Akhirnya, kesemuanya 6 orang anak perempuan mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Yang Shuying, anak perempuan kelima Li Guihua berkata, "Ibu kami sentiasa menggalakkan kami untuk tekun mengikuti pelajaran. Saya dan adik-beradik saya tidak akan dapat mencapai kecemerlangan tanpa galakan dan usaha gigih ibu kami."

Kebanyakan anak perempuan Li Guihua masuk ke universiti perguruan kerana pengaruh ibu mereka. Ketika anak perempuan sulungnya mendapatkan masuk ke universiti perguruan, Li Guihua sangat gembira sehingga tidak dapat tidur. Anak-anaknya mendapat peluang mengikuti pengajian tinggi sehingga ke universiti dan beliau hendak lebih ramai kanak-kanak dari desa juga dapat seperti yang dinikmati oleh anak-anaknya. Ketika anak-anaknya hampir tamat pengajian di universiti, Li Guihua menasihati mereka bekerja sebagai guru di desa bagi memajukan pendidikan di kawasan tersebut. Kata Li Guihua, "Tenaga profesional dalam bidang pendidikan di desa amat kurang. Mereka kembali ke desa bekerja sebagai guru amat penting untuk memajukan pendidikan di kawasan tersebut. Selain itu, pengalaman yang ditimba sebagai guru di desa yang kurang maju amat penting bagi mereka untuk mencapai kecemerlangan di kemudian hari."

Anak-anak Li Guihua memahami hasrat ibu mereka. Yang Shuying, anak perempuan kelima Li Guihua berkhidmat sebagai guru secara sukarela di desa setelah lulus dari Universiti Perguruan Yinchuan pada tahun 2002. katanya, "Saya dilahir dan dibesarkan di desa. Walaupun taraf hidup di bandar lebih tinggi, tetapi saya berazam untuk memberi sumbangan terhadap pembangunan pendidikan di desa."

Empat orang anak perempuan Li Guihua bekerja sebagai guru. Katanya, "Kalau saya masih muda, saya juga hendak bekerja sebagai guru untuk memajukan pendidikan di kampung halaman."



http://malay.cri.cn/681/2008/11/28/81s92400.htm

No comments:

Post a Comment