Pages

Friday, December 24, 2010

Almarhum Aronghan Alhaj, Naib Presiden Persatuan Islam China


Pada pukul 7.00 pagi 25 April 2005, lebih 10 ribu orang penganut Islam berkumpul bersama-sama di Masjid Hetgah, masjid yang terkenal di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang untuk menyertai upacara menyembahyangkan jenazah imam Aronghan Alhaj.

Almarhum imam Aronghan Alhaj merupakan pemimpin Islam yang terkenal di Xinjiang China. Beliau menyandang pelbagai jawatan yang penting seperti Naib Presiden Persatuan Islam China, Naib Pengerusi Jawatankuasa Panduan Hal-Ehwal Islam China, Naib Pengerusi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat Xinjiang, Pengerusi Persatuan Islam Xinjiang, Pengerusi Persatuan Islam Kashi Xinjiang serta imam dan khatib Masjid Hetgah. Pada 24 April 2005, Aronghan Alhaj yang berusia 84 tahun telah kembali mengadap Ilahi di bandar Kashi.

Aronghan Alhaj dilahirkan dalam sebuah keluarga sarjana Islam sejak turun-temurun di bandar Kashi pada tahun 1921. Datuk dan ayahnya merupakan sarjana dan pemimpin Islam yang terkenal di Kashi dan amat dihormati oleh umat Islam di kawasan tersebut. Ketika usianya 7 tahun, Aronghan Alhaj mula mengikuti pengajian tentang agama di masjid. Ketika usianya 17 tahun, Aronghan Alhaj yang sudah fasih berbahasa Arab mula bertugas sebagai imam. Pada akhir tahun 1947, Aronghan Alhaj yang berusia 26 tahun itu mengikuti ayahnya pergi ke Mekah untuk menunaikan fardu haji. Ayahnya telah kembali ke Rahmatullah di Mekah ketika menjalankan fardu haji. Setelah selesai menguruskan jenazah ayahnya, Aronghan Alhaj terus melanjutkan pelajaran tentang agama Islam di masjid di Madinah. Pada bulan Mac 1949, Aronghan Alhaj pulang ke tanah air lalu dilantik sebagai imam di Masjid Taxitaike bandar Kashi. Antara tahun 1955 hingga tahun 1966, Aronghan Alhaj bertugas sebagai guru di sekolah agama, merangkap imam untuk Masjid Huojiaguzaili. Dari tahun 1981 hingga tahun 1984, beliau menjadi imam dan khatib di Masjid Jiapanibazha Kashi. Akhirnya, bermula pada tahun 1984, beliau memegang jawatan sebagai imam dan khatib di Masjid Hetgah, masjid yang terbesar di bandar raya Kashi.

Imam Aronghan Alhaj taat kepada agama dan berusaha dengan gigih untuk mengembangkan agama Islam di
Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang sepanjang hayatnya. Dalam tempoh lebih daripada 50 tahun bekerja sebagai imam, beliau tekun sekali membuat kajian tentang pelbagai ilmu dalam bidang agama Islam. Ilmu beliau tentang mazhab Syiah amat terkenal di China.

Aronghan Alhaj merupakan pemimpin Islam yang mencintai negara. Beliau menjalankan tugasnya berdasarkan dasar kerajaan dan undang-undang. Imam Aronghan Alhaj menjadi "jambatan" antara kerajaan dengan penduduk yang beragama Islam.

Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, imam Aronghan Alhaj menggalakkan pemimpin-pemimpin agama yang lain di Xinjiang supaya mencintai negara serta mematuhi dasar kerajaan dan undang-undang. Beliau banyak membuat jasa dalam usaha memelihara perpaduan etnik dan mewujudkan penyatuan negara. Beliau yang berjasa besar itu amat dihormati dan dipercayai oleh kerajaan dan rakyat pelbagai etnik. Imam Aronghan Alhaj dan masjid yang dipimpin olehnya telah mendapat anugerah "Pemimpin Agama Yang Cemerlang" di bandar Kashi serta "Masjid Cemerlang Peringkat Kebangsaan".

Pada tahun 1978, imam Aronghan Alhaj dipilih sebagai ahli Kongres Rakyat Xinjiang dan anggota Persatuan Islam Xinjiang. Pada bulan Ogos tahun 1985, beliau dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Islam Bandar Kashi. Pada bulan Ogos tahun 1992 pula, beliau mula menyandang jawatan Pengetua Istitut Al-Quran Kashi. Pada bulan Disember tahun itu juga, beliau dipilih lagi sebagai Pengerusi Persatuan Islam Xinjiang. Pada bulan Januari 2000, beliau mula memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Islam China. Selain itu, Imam Aronghan Alhaj juga telah menjadi Naib Pengerusi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat Xinjiang ke-6, ke-7, ke-8 dan ke-9.

Selepas mengikut ayahnya menunaikan fardu haji ke Mekah pada tahun 1947, Imam Aronghan Alhaj telah dua kali mengetuai jemaah haji peringkat negara China pergi ke Mekah, iaitu pada tahun 1986 dan 1994. Ketika menjalankan tugasnya di Mekah, beliau berusaha memperkenalkan keadaan hidup umat Islam serta dasar bebas beragama di China kepada saudara seagama dari negara-negara lain. Imam Aronghan Alhaj yang mempunyai ilmu agama dan wibawa yang tinggi ini menjadi tokoh yang terkenal dalam bidang agama Islam antarabangsa.

Apabila kerajaan China mula mengamalkan dasar pembangunan bahagian barat pada tahun 1999, segelintir anasir pemisah dan pelampau Islam dikatakan telah memburuk-burukkan dasar kerajaan tersebut. Ketika diwawancara oleh media massa, Imam Aronghan Alhaj telah menafikan tuduhan pemisah dan pelampau agama tersebut. Menurut beliau, dasar yang dilaksanakan itu akan memajukan ekonomi di bahagian barat dan memberikan faedah kepada rakyat di kawasan-kawasan tersebut. Jadi, tokoh dan pemimpin agama di Xinjiang dinasihatkan oleh beliau supaya berusaha untuk memelihara kestabilan demi menjayakan dasar tersebut.

Imam Aronghan Alhaj juga berusaha gigih untuk menjayakan projek penterjemahan al-Quran di China. Pada tahun 2000, Jawatankuasa Panduan Hal-Ehwal Islam China ditubuhkan dan imam Aronghan Alhaj dipilih sebagai Naib Pengerusi jawatankuasa tersebut. Sejak tahun 2000, beliau bertugas untuk memeriksa dan membaiki "Koleksi Musabaqah Edisi Baru" yang disusun oleh Persatuan Islam China dan jawatankuasa tersebut. Sebelum kembali ke Rahmatullah, beliau masih memberikan perhatian yang besar kepada kerja penyuntingan karya tersebut.

Imam Aronghan Alhaj yang memberikan sumbangan besar terhadap kestabilan dan pembangunan di Xinjiang telah ditemui oleh pemimpin-pemimpin negara seperti Perdana Menteri, Wen Jiabao dan Pengerusi Jawatankusa Tetap Majlis Mesyuarat Politik Rakyat, Jia Qinglin.
Sejak tahun 1980-an, segelintir anasir pemisah dan pelampau di bahagian selatan Xinjiang mula menjalankan aktiviti memecahbelahkan negara. Sebagai pemimpin Islam di kawasan Kashi, beliau selalu mencela tindakan tersebut ketika menyampaikan khutbah pada Hari Jumaat.

Pada bulan Mac 1996, pertubuhan pengganas telah mengadakan mesyuarat dan merancang untuk membunuh Imam Aronghan Alhaj serta pemimpin agama dan kerajaan tempatan yang lain. Pada pukul 6.50 pagi 12 Mei tahun itu, 4 orang pengganas yang bersenjatakan pisau telah menyerang Imam Aronghan Alhaj dan anaknya yang sedang dalam perjalanan ke Masjid Hetgah untuk solat subuh. Mereka telah menikam sebanyak 21 kali di badan Aronghan Alhaj dan 13 kali di badan anaknya. Pihak berkuasa segera menghantar Aronghan Alhaj yang cedera parah itu ke hospital yang terbaik di Urumqi untuk mendapatkan rawatan. Dengan usaha para doktor, beliau telah dapat diselamatkan. Pada 17 Januari 1997, imam Aronghan Alhaj yang baru pulih itu telah menyertai sidang pleno ke-7 Majlis Mesyuarat Politik Rakyat Xinjiang. Kesemua peserta sidang itu bertepuk tangan begitu lama untuk menyambut kedatangan beliau dan berdiri untuk menyampaikan rasa hormat yang tertinggi kepada beliau. Pada 9 Februari tahun itu juga, imam Aronghan Alhaj telah memimpin solat berjemaah bagi hari Raya Haji di Masjid Hetgah. Sesungguhnya, usaha beliau amat berkesan untuk menghalang kumpulan pemisah serta memelihara kestabilan dan perpaduan di Xinjiang.

No comments:

Post a Comment