BIMBANG...kemunculan China serta negara Asia sebagai pesaing dalam bidang penyelidikan menggusarkan ramai saintis dari negara Eropah sekali gus memberi tamparan hebat kepada mereka.
JIKA dulu, hanya Amerika Syarikat ( AS), Jepun dan negara Eropah saja boleh mendabik dada dan mengakui kehebatan mempelopori bidang penyelidikan dunia, kini mereka terpaksa mengakui persaingan hebat dari China.
Persaingan itu membabitkan peningkatan mendadak dalam penghasilan produk penyelidikan di institusi pengajian tinggi selain bantuan dan dana kewangan yang mencurah dari syarikat korporat.
BERPUSU-PUSU...peningkatan bidang penyelidikan, pembangunan dan teknologi turut menyumbang kepada penawaran pekerjaan kepada rakyat China sekali gus meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi.
Ini sekali gus menggugat kedudukan negara berkenaan yang selama ini memegang carta teratas dalam hasil penyelidikan dan komersil.
Lebih parah, kualiti produk sedia ada tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya ‘perlumbaan’ dan ‘percakaran’ siapa terbaik di kalangan yang terbaik.
Berdasarkan Kajian Sains Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada Hari Sains Sedunia di Paris, November tahun lalu, mendapati pembabitan China sebagai kuasa baru dalam dunia penyelidikan sangat pantas dan mengagumkan.
Peningkatan itu berdasarkan beberapa faktor seperti kepercayaan sektor korporat dan industri dalam memberi dana sebagai pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Secara tidak langsung turut memberi kesan positif terhadap pembangunan sains dan teknologi.
BERI CABARAN...penyelidikan dan pembangunan di India juga berjaya mempertingkatkan lagi penggunaan teknologi di negara terbabit hingga memberi cabaran kepada negara sudah terkenal.
“Ini satu fenomena mengagumkan kerana jika berdasarkan sejarahnya, China dianggap masih baru dalam dunia penyelidikan dan pembangunan berbanding tiga negara berkenaan yang sudah jauh mendahului.
“Namun sokongan dan keberanian sektor industri melabur bagi membantu meningkatkan taraf penyelidikan di negara itu menjadikannya sebagai pesaing kompetitif, dinamik serta mampu menggugat.
“Perkembangan ini menunjukkan kehendak mereka begitu tinggi dalam menghasilkan pembangunan dan kemajuan jangka panjang serta wajar diberi pujian.
“Pada masa sama menjadi ‘amaran’ kepada negara lain supaya terus berusaha,” kata Pengarah Urusan Unesco, Irina Bokova.
Kajian itu dilaksanakan kumpulan pakar antarabangsa yang menjalankan penyelidikan semasa dalam pembudayaan sains dan teknologi berdasarkan perubahan kualiti serta kuantiti secara global.
Setiap bahagian dibahagikan kepada kawasan tertentu dengan ciri berbeza termasuk penekanan terhadap negara berpotensi tinggi dalam R&D seperti Brazil, Kanada, Cuba dan Turki.
OPTIMIS...sokongan dari pelabur memberi harapan baru kepada penyelidik di China hingga mampu melonjakkan lagi bidang penyelidikan.
Selain hasil penyelidikan, ia turut memberi fokus kepada peningkatan penyelidik
di negara membangun yang amat memberangsangkan iaitu 38 peratus pada 2007 dengan sebahagian besarnya dari China iaitu 1,423,400.
Peningkatan itu sekali gus membantu melonjakkan lagi perbelanjaan domestik Asia dalam R&D dan meletakkannya sebagai antara pesaing besar penyelidikan dunia.
Selain kemampuan China, India dan Korea Selatan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan antara 27 hingga 32 peratus dalam tempoh hanya lima tahun.
Malangnya, dalam tempoh itu menunjukkan penurunan bagi AS, negara Eropah dan Jepun sekali gus membuktikan mereka sebenarnya perlu berusaha lebih keras bagi memperoleh kembali keyakinan serta kepercayaan pihak pelabur yang kini mengalih tumpuan kepada Asia.
“Situasi ini sangat memeranjatkan kerana sejak lama mendominasi carta, mereka kini semakin diketepikan meskipun dari segi kepakaran adalah yang terbaik. Perkembangan ini juga sukar ditafsir dan dijangka.
“Tumpuan pelabur kini adalah ke negara yang menunjukkan lebih kesungguhan untuk mempelopori dunia penyelidikan baru. Meskipun hasilnya masih belum terbukti sepenuhnya, mereka tetap berkeyakinan.
“Ini juga satu cabaran baru kepada negara berkenaan untuk meyakinkan pengeluar dana bahawa apa yang diberikan tidak sia-sia sebaliknya mampu memberi pulangan setimpal atau lebih tinggi,” katanya turut mengakui kos rendah juga antara faktor pelabur beralih arah.
“Tukaran kadar wang asing yang tidak menentu juga antara sebab mengapa mereka mahu mencuba di negara baru kerana risikonya lebih rendah. Dalam hal ini, negara Asia mempunyai banyak kelebihan.
LURU KE ANGKASA...pelancaran roket membawa modul Tiangong-1 membuktikan kemampuan China. Ia sebahagian rancangan membina stesen angkasa lepas.
“Apatah lagi dengan pembangunan pesat sektor pendidikan yang kini menjadikan Asia sebagai transit terbaru masyarakat seluruh dunia, meninggikan lagi peluang sedia ada. Banyak kelebihan diperoleh dan ia dimanfaatkan dengan baik hingga menjadikannya sebagai hab pendidikan global,” katanya.
Meskipun andaian ia mampu menimbulkan konflik, perkembangan itu seharusnya dilihat dari sudut positif kerana mampu menyumbang kepada peningkatan penghasilan produk yang boleh dikomersialkan dari dunia penyelidikan.
Manfaat itu, katanya, lebih berharga daripada sebarang pertikaian atau sikap mendabik dada kerana keutamaan adalah menjadikan kejayaan penyelidikan itu sebagai batu loncatan menghasilkan kehidupan lebih baik.
“Selain meningkatkan lagi taraf dan penemuan baru bagi manfaat kehidupan sejagat. Jika menjadikan konflik itu sebagai agenda utama, nilai penyelidikan itu tiada gunanya meskipun mampu menghasil�kan penemuan menakjubkan atau keuntungan berlipat ganda.
“Alasan mengapa penyelidikan itu dilakukan perlu diletakkan di tangga teratas supaya salah faham atau konflik yang timbul boleh diperbetulkan. Malangnya, ketaksuban terhadap siapa paling handal mengaburi segalanya.” katanya.
INFO
http://www.hmetro.com.my/articles/Asiabakalkuasaiteknologi/Article
No comments:
Post a Comment